Friday 9 December 2016

Rantaian Aksara Sulong

Ini Kisah Aku


Pengenalan / Mukkadimah / Intro

 Dalam pengkisahan ini watak utama tidak ada mempunyai nama khusus. Kenapa aku memilih corak tidak konvensional sedangkan penulis lain menggarap pelbagai nama indah menjadi pendukung watak utama dalam kisah mereka? Jawapanku mudah kerana AKU itu ada di mana-mana, dalam pelbagai rupa, pelbagai bangsa, pelbagai karier dan macam-mac pelbagai lagi. Mungkin AKU dalam kisah ini adalah jiran anda atau ahli keluarga anda atau jika anda  membaca kisah ini di dalam pengangkutan awam, AKU itu adalah insan yang duduk di sebelah anda dengan pakai cap terbalik dan telinga disumbat "earphone" sambil memegang akhbar The Sun yang didapati percuma di pintu masuk LRT KL Sentral.  Atau mungkin AKU itu sekarang pemandu kereta disebelah kanan anda yang terlihat tenang menunggu bertukarnya lampu isyarat dari merah ke hijau dengan mulut terkumat kamit, mungkin berzikir atau mengikut bacaan ayat suci atau mungkin menyanyi lagu kegemarannya yang dimainkan di radio.

Panjang pula mukkadimah tentang siapa AKU yang aku bakal coretkan dalam helaian-helaian berikutnya. Nanti semakin celaru jika aku terus cuba mengistilahkan siapa AKU dalam riwayat hidup zaman moden ini. Biarlah hanya aku yang mengenali AKU. Biar aku yang menjadi jari AKU dalam mencoret kisah turun naik AKU yang entah bila akan terhenti. Selagi AKU masih bernyawa selagi itulah akan terconteng pelbagai kisah suka duka seorang makhluk istimewa ini. Jika Sang Sakratul Maut sudah datang menjemput, akan bermula pula sebuah kisah baru. Kisah di alam persinggahan sebelum bangkit semula memulakan kisah di Hari Pembalasan. Sayangnya aku tak mampu lagi mencoret kisah AKU saat AKU sudah berhijrah ke alam barzakh. Kisah AKU akan terhenti di saat tanah dikambus menutupi jasad kakunya kelak.

 Aduh! Maafkan aku sebab terus menyambung mukkadimah akan siapa diri AKU. Kita teruskan dengan Ini Kisah aku.

No comments:

Post a Comment