Friday 9 December 2016

Aku Sekarang

AKU kembali!
Tapi kali ni aku sekadar ingin berkongsi cerita di mana aku sekarang.
Episod pengenalan yang cukup memeningkan itu kita lupakan dulu. Panjang lagi kisah aku akan aku coret di kanvas maya ini.
Tapi sebelum kita flashback bagaimana segala bermula sedari sejarah keluarga aku hingga detik 2 tahun lalu, lebih baik kota fokuskan kedudukan aku sekarang. Bak kata orang Barat past is past. What matters is now and future.
Secara lahirnya orang disekeliling aku sekarang melihat aku sangat berkeyakinan tinggi. Aku mampu bergaul dengan siapa sahaja yang sihat tanpa ada rasa takut akan diskriminasi. Malahan bila ada yang bertanya kenapa langkah kaki aku agak tidak stabil dan aku terlihat tidak sihat pada wajah, aku tanpa segan tanpa silu memberitahu yang aku adalah pesakit HIV. Prinsip aku mudah : terpulang pada mereka mahu menghakimi aku mengikut kefahaman mereka akan penyakit aku ini tapi aku tahu setiap manusia ada khilaf mereka sendiri. Semua manusia adalah pendosa baik yang kecil mahupun yang besar kecuali Nabi, Rasul dan mereka yang dipilih Allah secara khusus. Ada yang diperingatkan akan dosa mereka dengan ditarik nikmat material, dihilangkangkan kebahagiaan kekeluargaan dan silaturrahim tapi aku, insan bertuah terpilih di kalangan pendosa yang ramai di luar sana untuk diperingatkan akan dosa aku dengan ditarik nikmat kesihatan. Diberi penyakit yang setakat ini secara klinikal dan saintifik masih tiada penawarnya.
Adakah aku menolak ketentuan ini? Tidak sama sekali. Aku tetap berdiri bangga dikalangan pendosa lain yang tidak diuji sehebat aku. Aku tetap bergaul dengan semua orang disekelilingku. Dan status HIV itu adalah aku. Kenapa perlu takut akan stigma dan diskriminasi? Walaupun kita sihat tetapi stigma dan diskriminasi tetap berlaku di mana-mana.
Contoh : sekumpulan anak remaja yang berpakaian serba hitam, berambut ala-ala landak, memakai aksesori yang ada stud, berkasut boot dr marten, golongan ini juga dipandang serong.oleh ahli masyarakat yang "normal". Didiskriminasi dengan anak-anak mereka dihalang dari bergaul dengan kumpulan ini. Diberi stigma yang mereka ini adalah kumpulan anak yang keciciran dari sistem pendidikan. Tapi adakah masyarakat "normal" pernah cuba menghampiri dan mengenali mereka?
Itulah yang terjadi pada kumpulan pesakit HIV. Mereka sama ada disisihkan kerana faktor- faktor jangkitan penyakit ini berpunca dari kesilapan memilih jalan hidup. Dadah (berkongsi jarum suntikan), sex bebas, pekerja sex malahan yang terlibat dalam kegiatan LGBT. Sangat kurang sekali penyakit ini berjangkit akibat pemindahan darahx terima kasih kepada pembangunan teknologi sekarang. Malahan jangkitan dari ibu yang positif kepada anak juga jika tak salah semakin berkurangan berbanding 20 tahun lepas. Dalam bahasa mudahnya, pesakit HIV dilihat sebagai "orang jahat" dalam pandangan masyarakat. (Aku akan berbalik tentang topik diskriminasi ni kemudian, bagaimana aku dan sahabat senasib yang yang didiskriminasi sistem terutama dalam mencari pekerjaan)
Ada juga pesakit yang mensisihkan diri mereka sendiri. Hanya kerana tubuh berdosa itu dihuni virus pembunuh itu, mereka malu untuk menjadi "normal". Mereka memilih untuk "bersembunyi di dalam almari" atau hide inside the closet kerana takut akan ancaman penyisihan. Buka minda anda wahai penghidap HIV! Penyakit di tubuh kita ni bukan mudah berjangkit macam penyakit bawaan udara atau air. Aku sendiri pasti masyarakat sekarang di era maklumat di hujung jari sudah sedia maklum akan cara jangkitan. Waima berkongsi gelas / penyedut minuman pun bukan masalah walaupun ada konsentrasi virus tersebut dalam elemen siliva manusia tapi terlalu sedikit untuk menyebabkan penyebaran. Menurut mentor dalam aktivis HIV aku, jangkitan melalui air liur hanya boleh terjadi jika air liur terkumpul sebanyak 7 kolam (dah macam cerita Puteri Gunung Ledang plak) - aku masih belum dapat mensahihkan maklumat tersebut. Mungkin ada dikalangan reader yang berpengalaman dalam bidang perubatan dapat mensahihkan maklumat tersebut.
Panjang pulak aku mengomel pasal stigma, diskriminasi, disishkan dan menyisihkan.
Aku sekarang mengalami side effect ubat tuberculosis yang perlu aku makan selama 9 bulan sebelum ini (menurut kata doktor yang merawat aku). Kesannya saraf kaki aku tidak begitu kuat dan aku merasakan seolah-olah kebas /semut-semut dikedua belah tapak kaki aku. Sebelah kiri yang punya lebih rasa tersebut.
Selepas aku keluar dari zon pesakit HIV, aku kembali berusaha membina kehidupan aku yang terhenti sejak sekian lama. Tekanan keluarga buat aku pernah tidur di merata-rata termasuk rumah keluarga angkat aku, rumah penggiat aktiviti HIV dan juga dijalanan. Ini antara perkara yang tak aku ceritakan pada keluarga, sahabat juga mereka yang tak pernah jemu menyokong aku sepanjang bergelar pesakit HIV.
Hinggalah pada satu ketika aku diberikan rezki untuk kembali bekerja. Dengan berbekalkan pengalaman bekerja di bidang F&B, aku mula bekerja Pavillion Kuala Lumpur tapi sayangnya dalam masa bulan dari tarikh aku mula bekerja outlet tersebut akan ditutup.
Bermula pencarian perkerjaan baru dan akhirnya aku dapat pekerjaan di salah sebuah mall di Bukit Bintang. Memandangkang keadaan kesihatan aku yang sangat sensitif pada batuk dan selsema juga keadaan kaki yang membengkak tanpa sebab, akhirnya aku dinasihati berhenti kerja.
Kembali aku menumpang di rumah keluarga tapi keadaan ekonomi mereka juga sangat tidak stabil. Aku diberi tekanan demi tekanan untuk mencari pekerjaan walaupun itu adalah sesuatu yang hampir mustahil terutama dengan keadaan kesan sampingan ubat pada kedua belah kakiku.
Ya, keluarga aku menerima aku seadanya tapi tahap pemahaman mereka tentang penyakit ini juga masih rendah. Jika aku dikurniakan tubuh yang sihat seperti dulu pasti aku mahu bina kembali kerjaya aku. Punya asset. Mengembara ke serata pelusuk dunia. Tunggu! Mungkin ada yang tanya tentang perkahwinan. Maaf semua, aku adalah antara segolongan manusia yang tidak percaya pada konsep perkahwinan. Kembangan cerita kenapa.aku mengelakkan perkahwinan akan aku terangkan dalam kanvas yang lain.
Sekarang sebenarnya aku sedikit tertekan dengan keadaan hidup aku. Hidup menumpang rumah orang, keadaan kewangan yang sangat tidak stabil dan jujur aku katakan aku mula menyisihkan diri aku dari keluarga.
Disebalik tekanan itu aku masih mencari peluang untuk menjalankan perniagaan sendiri. Bermula dengan kolaborasi dengan sahabat keluarga menjalankan pemasaran cetakan tshirt, merangka mengeluarkan produk makanan dan pakaian patuh syariah.
Cuma bila modal menjadi penghalang aku akan jadi serabut kembali.
Submission permohonan pinjaman Hijrah Selangor sudah aku buat. Sayangnya permohonan untuk tahun 2016 sudah dihentikan. Aku perlu menunggu Januari 2017 untuk keputusan permohonan.
Aku juga dalam mengumpul dokumentasi untuk permohonan Skim Teman TEKUN cuma masalahnya aku perlu ada 5 orang sekumpulan baru aku boleh hantar permohonan aku.
Yang paling menyedihkan aku usaha untuk aku mengeluarkan simpnana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tidak mendapat sokongan doktor yang merawat aku. Tidak aku nafikan kepakaran beliau tapi beliau harus faham yang proses memulakan hidup.bukan sesuatu yang mudah. Aku tak minta beliau menipu laporan perubatan aku tapi cukup memberi gambaran kepada Panel Perubatan KWSP yang aku sudah tidak competent untuk bekerja seperti dahulu. Dengan wang yang ada sekurang-kurangnya dapat aku mulakan perniagaan yang aku boleh jalankan di rumah.
Dengan dana tersebut juga dapat aku dahulukan wang deposit rumah sewa sebelum bayaran bulanan dibiayai oleh pihak zakat.
Keadaan ekonomi dan kewangan yang sangat menggangu aku sekarang. Bukan disebabkan penyakit aku ini lagi.
Tempoh 2 hari selepas mendapat perkhabaran keputusan diagnosa cukup untuk aku kembali merangka perancangan hidup aku seterusnya tanpa menyembunyikan status kesihatan aku. Walaupun aku penghidap HIV+, aku adalah manusia normal seperti anda semua di luar sana.

No comments:

Post a Comment